Sebuah eksperimen telah dijalankan di mana satu akuarium yang menempatkan seekor ikan disediakan. Pada waktu-waktu tertentu,ikan tersebut diberi makan bijian makanan. Ikan itu makan seperti biasa. Kemudian satu penghalang lutsinar telah diletakkan di tengah-tengah akuarium itu menjadikannya dua bahagian sama rata; ikan di satu petak dan yang satu lagi adalah ruangan kosong. Kemudian bijian ditaburkan di ruangan kosong.
Cuba teka apa yang terjadi?
Ikan itu segera meluru ke arah bijian itu. Namun setiap kali ia mahu menuju ke arah makanan, ia telah tersadung dinding lutsinar tersebut. Situasi begini terjadi berulang-ulang kali sehingga ikan itu tidak lagi kelihatan cuba menuju ke arah bijian makanan tersebut. Kemudian dinding lutsinar itu dikeluarkan. Satu situasi menarik telah berlaku. Ikan tersebut membiarkan sahaja bijian makanan itu. Ia tidak cuba untuk mendapatkannya.
Satu akuarium lain berisikan seekor ikan disediakan sebagai kawalan. Sebaik sahaja ditaburkan makanan, ikan di dalam akuarium yang kedua bergegas meluru mendapatkan makanan. Tetapi anehnya,ikan di dalam akuarium pertama tadi membiarkan sahaja bijian makanan itu terapung-rapung di sudut bertentangan. Satu lagi ciri yang dapat dilihat, ikan itu seolah-olah berenang di dalam kawasan yang terhad, iaitu separuh dari akuarium itu.
Apakah anda pelajari dari eksperimen di atas?