Kemalangan Jalan Raya



Bismillahirrohmanirrohim... 
Assalamu'alaikum & salam kasih sayang...  

Kami kemalangan. Isi entri kali ini sekali lagi agak panjang. Bukan niat aku untuk menghebahkan pada dunia bahawa kami mengalami kemalangan. Tidak, tidak sekali-kali. Kerana jika aku diberi pilihan untuk membuang salah satu detik dalam hidup aku, kemungkinan besar aku akan buang detik ini, di mana aku mengalami kemalangan jalan raya. Perasaannya sangat tidak enak, tidak manis, tidak indah untuk dikenang-kenang. Tapi inilah yang dikatakan takdir. Aku terima seadanya & aku harap isi catatan pengalaman yang bakal aku kongsi ini akan memberikan pembelajaran & pengajaran buat kita semua. Insya Allah... 

Hujung minggu yang baru berlalu, Jumaat hingga Ahad, aku & keluarga menghabiskan masa bersama di sebuah perkampungan terpencil  di Beaufort, tempat asal bondaku. Perasaannya indah & tenang-tenang sahaja. Jauh dari bandar, jauh dari bingit hilai tawa kapitalis, jauh dari kerakusan manusia. Aku senang sekali. 

18 Mac 2012. Ahad tengahari, kami selamat kembali ke teratak usang kami di Kota Belud. Memandangkan hari masih muda, jadi aku & kakanda bercadang untuk ke kota, bertemu sahabat-sahabat yang sudah lama tidak bertemu, menonton wayang bertajuk Bunohan & makan bersama di pasar malam Kokin. Aku, Bobby [kakandaku], Acok, Siti, Hati & Weilin. Indah, sangat sangat indah. 

Dijadikan cerita, selepas menonton & seusai makan malam di pasar malam, kira-kira jam 9.30, kami bersalaman sebagai tanda akan berpisah & tinggallah aku berdua dengan kakandaku terus memandu menuju arah kembali ke teratak usang. Seperti biasa, aku & kakanda akan mengisi masa sepanjang perjalanan dengan bercerita tentang bermacam jenis topik, termasuklah tiang-tiang di tepi jalan raya yang sudah mula dipasang di sepanjang Membakut. Dulu jalan tu gelap, walaupun seawal jam 9.00 malam, seram juga mahu lalu. Sekarang ni meriah sangat, macam suasana hari raya pun ada. Terang benderang. 

Sedang aku asyik bercerita dengan kakanda sambil merentasi jalan raya yang kadang gelap kadang terang kadang samar, kami pun tiba di suatu perkampungan, Kg. Selaup kalau tidak silap  aku. Di suatu simpang, kelihatan sebuah kereta besar, acuh tak acuh. Lagak macam mahu keluar, jadi kakandaku memperlahankan kenderaan. Orang putih bilang "bagi chance". Usai kereta besar itu keluar dari persimpangan, kakandaku mula menekan minyak seperti sedia kala untuk meneruskan perjalanan.  

Bufffff!!! Kereta yang kami bawa berlanggar dengan kereta besar, bila saja kereta besar itu membuat pusingan U-turn untuk masuk semula ke simpang itu. Astaghfirullohal'azim.... Kenapakah kau bertindak sebegitu rupa wahai pemandu kereta besar? Aku sama sekali tidak menyangka. 

Dadaku mulai sesak, nafasku seperti  terhenti. Panik! Sampai aku tidak dapat buka pintu yang berkunci. Kakandaku membuka pintu & menyuruh aku keluar. Dengan kesakitan yang amat sangat, aku menggagahkan diri untuk keluar, tanpa berselipar. Aku tarik nafas, tidak boleh. Aku cuba tarik lagi, tidak boleh. Tanganku pula mula rasa pedih-pedih, berdarah. Bunyi besar perlanggaran mengejutkan penduduk kampung yang tinggal berdekatan dengan jalan raya. Mula merapati kami & ada yang mula memimpinku sebab aku asyik memanggil-manggil kakandaku, sambil berbisik "sesak nafas saya, sesak nafas saya". Dengan pantasnya mereka membuat keputusan untuk membawaku ke hospital, risau kalau-kalau ada kecederaan dalaman akibat hentakan yang kuat.  Sepanjang perjalanan ke hospital, sempat beberapa perkara penting & beberapa individu penting muncul dalam fikiranku. 

Keadaan sangat panik. Sebelum dibawa ke hospital, sempat aku meminta handbag yang tertinggal di dalam kereta. Rupanya handbag merupakan suatu perkara penting dalam hidupku, baru aku sedar. Sempat juga kakandaku mengirimkan telefon nokia burukku yang tertinggal di dalam kereta untuk memudahkan berhubung. Setiba di Hospital Tuaran, aku dibawa ke bahagian kecemasan. Para jururawat & pembantu perubatan menjalankan tanggungjawab masing-masing. Ada yang mencuci lukaku, ada yang mengambil tekanan darahku, ada yang membawa aku membuat x-ray, walaupun pergerakan mereka agak lembab & kadang macam endah tak endah. Maaf, mungkin sebab terlalu sakit aku jadi sensitif. 

Selepas di x-ray, aku berehat di sebuah katil empuk. Pun empuk, kesakitan yang aku alami tidak juga kebah. Perlahan aku tarik nafas, alhamdulillah dah boleh tarik sikit-sikit. Tidak berapa jauh dari katil tempat pembaringanku, aku lihat seorang pembantu perubatan sedang menganailis x-ray & aku syak itu adalah milikku. Samar-samar aku terdengar perbualan sesama meraka "Patah ni kan?" Jantungku mula berdegup kencang sekencang-kencangnya! 

Telefonku berdering. Mama..! Dengan tenang aku jawab telefon. Terdengar tangisan mama di hujung talian. Aku buat macam biasa, macam tiada apa yang berlaku, seperti pesan kakandaku kepadaku sebelum tiba di hospital "Buat macam biasa jak dik. Banyakkan istighfar. Semuanya akan baik-baik saja. Jangan buat mama risau". Sorry ma, kami tiada niat langsung untuk buat mama risau & susah hati, apatah lagi buat mama mengalirkan airmata. Ikutkan hati, aku tidak mahu bagitau pada siapa-siapa pun tentang kejadian ni, tapi bila aku terfikir mungkin umurku  tidak panjang, aku pun menghantar sistem pesanan ringkas kepada teman baikku, Siti & kepada seorang lagi insan penting dalam hidupku. Seperti yang sudah aku jangka, mereka risau. Siti menelefon aku sambil menangis, seperti sangat takut kehilangan aku. Tidak lama kemudian, mereka pun tiba di sampingku. Senyumanku jadi murah, sakitku jadi kebah. Terima kasih teman-temanku, kalianlah sahabat, kalianlah saudara... 

Beralih pula pada kemalangan yang berlaku. Semasa aku di hospital, kakandaku sibuk berurusan di balai polis. Polis? Siapa panggil polis? Menurut kakandaku, pemandu kereta besar mengaku bersalah & bersetuju untuk menanggung keseluruhan kos perbelanjaan untuk segala kerosakan yang berlaku. Teringat semasa berada di tempat kejadian, si pemandu yang berjantina perempuan mendekati aku "Dik dik, sorry dik". Aku tidak dapat berkata apa kerana kesakitan yang aku tanggung membataskan aku untuk menuturkan banyak patah perkataan. Aku maafkan kamu wahai saudaraku, sungguhpun ada rasa marah dalam hatiku. Seandainya ditakdirkan nyawaku & kakandaku melayang atas kelalaianmu dalam pemanduan, bagaimana kau akan meminta maaf pada kedua ibu bapa kami? Yang susah payah membesarkan kami? Bagaimana pula kau meminta maaf pada Pencipta kami? Yang meminjamkan nyawa kepada kami, untuk kami jaga sebaiknya, tapi orang lain yang mudah-mudah merenggutnya atas nama 'kelalaian'. 

Insya Allah kemarahanku sudah hilang. Aku yakin & percaya, terlalu banyak pengajaran & hikmah yang dapat kita sama-sama ambil dari peristiwa ini. Berhati-hati di jalan raya, hargai nyawa sendiri & nyawa orang lain. Pasang tali pinggang keselamatan. Apa perkataan yang meniti di bibir saat ditimpa kecelakaan? Apa benda penting yang paling kita mahu selamatkan saat ditimpa kecelakaan? Siapa individu penting yang hadir dalam kotak fikiran saat kita ditimpa kecelakaan? Siapa teman yang ada saat kita senang mahupun susah? Persoalan-persoalan ini sudah terjawab untuk aku. Mungkin juga untuk kakandaku. Apapa pun, aku kira moleklah kiranya aku tutup entri panjang ini di sini. Aku tutup entri penuh tragedi ini dengan peribahasa "Bueh hok keruh, ambek hok comey" - salah satu skrip menarik dalam filem Bunohan atau dalam bahasa melayu "Buang yang keruh, ambil yang jernih"


Salam sayang. 


Nota: yang paling dekat dengan kita adalah ajal & yang paling berhak ke atas kita adalah Allah. Terima kasih Allah, masih meminjamkan umur untuk kami mengumpul amal ibadah sebelum bertemuMu. Terima kasih Allah....

8 komenteraksi:

sahidzan said... [Balas Komen]

Claim insuran dan tuntut ganti rugi pada si kereta besar.

saveq said... [Balas Komen]

semoga cepat sembuh ya zurin...semoga yang kawan2 yang lain begitu juga...

Dasir Rounin said... [Balas Komen]

Syukurlah selamat~

Zurina J. said... [Balas Komen]

@PK, ketahuilah saudaraku.. Tidak semua 'benda' dapat diclaim.

Uang dapat dicari ganti, tapi bukan nyawa.

Zurina J. said... [Balas Komen]

@saveq, terima kasih saudaraku.. Alhamdulillah keadaan baik-baik & tenang-tenang juga.

Banyak hikmah & pengajaran buat kami. Mungkin selama ini kami lalai mengingati Allah. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kami. Aameen.

Zurina J. said... [Balas Komen]

@Dasiruto Dragneel, alhamdulillah....

elieynz said... [Balas Komen]

daripada Allah kita datang kepada Allah kita kembali.. maaf sebab baru baca.. mesti menakutkan tu.. aku terlanggar bumper kereta pun sudah menggigil..
mudah2an trauma yang dialami tidak menghantui.. dan sekiranya masih ada yang luka atau sebagainya moga2 kamu cepat sembuh..
syukur jugaklah kamu selamat..

p[A]n[A]d[O]L said... [Balas Komen]

syukurlah nak semuanya baik2 saja..

Post a Comment

s1   s2   s3   s4   s5   s6   s7   s8   s9   s0

"Amalan membaca perlu diterapkan pada diri anak muda zaman sekarang. Walaupun perlu menggunakan paksaan". - pesan Tun Mahathir.

Jadi, kalau sudah baca.

Apa lagi.. Lontarkan suaratokrasi anda!