Di sebalik kemewahan yang aku & keluargaku nikmati kini, tersembunyi berjuta kepayahan yang harus aku lalui. Seawal tunas & bibit. Belajar mengenal erti & teori. Payah! Hitam, kabut, serabut. Orang berjalan, aku merangkak. Orang mendongak, aku menunduk. Semakin aku kenal erti hidup. Payah! Perit, sakit, pahit.
Di kota metropolitan yang sangat moden, terpacak sebuah syarikat yang sangat gah segah namanya, iaitu Syarikat WSB Sdn. Bhd. Syarikat ini mula diilhamkan dan sehingga kini diterajui oleh seorang lelaki budiman lagi kacak, Dato' Alfian. Oleh kerana tidak sukakan publisiti, Dato Alfian lebih suka menggunakan nama samarannya Dato' Bobby. Beliau merupakan abang kesayanganku. Awal penubuhan syarikat ini, Dato' Bobby hanya berniaga barang-barang elektrik terpakai yang terdapat di rumah kami. Berpejabatkan bilik tidurnya yang usang dan sedikit berbau. Entah? Tak dapat dibezakan samada bau stokin atau bau badan. Dato' Bobby sangat komited di dalam menjayakan perniagaannya. Aku ni tak pandai sangat berniaga. Tapi atas dasar kasih dan sayang [atau lebih tepat lagi menganggur], aku sentiasa menjadi pendamping dan penyokongnya walaupun bondaku kadang bising kenapa tak pandai cari kerja kerajaan. Lama-kelamaan aku kesiokan. Aku memandai-mandai melantik diri menjadi personal assistantnya.