Hadirnya Kesedihan


Kesedihan... 
engkau sering datang tanpa diundang
engkau menjelang tanpa ungkapan salam 
engkau menerpa masuk tanpa dijemput 
engkau hinggap lekat di pelbagai sudut 

dengan wajah yang menyimbah resah 
dengan lidah yang menempah gundah 
dengan cara yang membawa lara 
dengan bahasa yang menjelma duka 
bagimu rupa yang bermacam warna 
hingga ku lupa membezakan nama 

Kesedihan... 
pada awal mengenalimu, aku begitu terkedu 
wajahmu nan suram seakan hidup menjadi kelam 
aku terdiam dan terbungkam 
siang bagaikan malam 
cahaya bagaikan kelam 
kau cuba palutkan rasa takut dan kalut 
sehingga nafas menjadi semput dan susut 
lantas kaurampas ceria hidup yang dihirup 

Kesedihan... 
tika ini, telah lama ku mengenalimu 
apa tidak, sering kau lalu dan bertamu 
entah berapa waktuku kau ganggu 
entah berapa medan dah kau kutentang 
entah berapa lama kita berkawan tanpa sayang 

datang dan pulangmu sama sahaja 
hadir dan pergi tiada bedanya 

Kesedihan... 
sejak dulu apa yang kutahu 
setiap kali kulihat rupa sayumu 
kupanggil syahdu nama TUHANku
setiap kali kudengar telapak kakimu bergerak 
kuseru TUHANku dengan sebak 
setiap kali kurasa kau mula melangkah 
jiwaku pun pasrah, pada ALLAH ku berserah 

Kesedihan... 
kutahu 
kau kan terus datang, sukar dihalang 
kau kan terus bertamu, sukar dijemu 

Namun, pabila kita berjumpa... 
kau kan kuhambat dengan air mata munajat 
kau kan kulontar dengan esakan istighfar 
kau kan kusiaga dengan tangisan doa 
kau kan kugempur dengan rasa syukur 

Kesedihan... 
hadirlah jika itu yang kau mahu 
moga jelmamu selalu membangunku 
pilu pada malam syahdu 
intuk kubasahi pipi dengan meratapi 
"Ya Rabbi! Kasihi hamba-MU ini..." 

DrMAZA
13042009 


Puisi indah ini saya petik dari sebuah buku karangan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bertajuk "Penawar Duka Pengubat Sengsara". Tidak banyak yang saya ingin katakan. Bacalah, ia sangat-sangat-sangat bermanfaat.

5 komenteraksi:

Rosmahusna said... [Balas Komen]

best la puisi ni :)

gnesop said... [Balas Komen]

sedih menjadikan hati lebih matang :)

Diari Si Froggie said... [Balas Komen]

bait2 yang sangat mendayu2 betul2 sedih bila membacanya..

unGu said... [Balas Komen]

hehe... nak tulis puisi jugak lah...

Fazera Faz said... [Balas Komen]

memang sedih huhu..

Post a Comment

s1   s2   s3   s4   s5   s6   s7   s8   s9   s0

"Amalan membaca perlu diterapkan pada diri anak muda zaman sekarang. Walaupun perlu menggunakan paksaan". - pesan Tun Mahathir.

Jadi, kalau sudah baca.

Apa lagi.. Lontarkan suaratokrasi anda!